ADAB BERJIRAN
TETANGGA MENURUT IMAN AL-GHAZALI
Dewasa ini, kesuntukkan waktu demi mengisi keperluan hidup membuatkan
antara kita tidak mengamalkan semangat kejiranan kerana tidak sempat untuk
bertegur sapa sesama jiran. Hal ini akan membuatkan perhubungan sesama ahli
masyarakat menjadi kurang mesra. Selain itu, kegagalan sesetengah individu
memahami konsep kejiranan dengan baik juga akan membuatkan berlakunya
perselisihan faham dan akan mewujudkan aura perhubungan yang negatif. Keadaan
ini pasti akan memperlahankan proses perpaduan dan boleh menimbulkan perasaan
kekok apabila sesakali bersua muka ditempat awam sama ada di pasar malam, surau
atau masjid bahkan ketika di kenduri perkahwinan dikawasan kejiranan.
Kepentingan adab berjiran amat penting dan dititik beratkan di dalam
agama Islam. Adab semasa pergaulan sesama jiran bermaksud segala sikap,
percakapan di dalam perbualan, senyuman, budi, pekerti, perangai, tingkahlaku
dan tabiat mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan ianya mestilah
bersendikan Al-Quran dan Al-Sunnah. Islam telah menggariskan beberapa adab yang
perlu dipatuhi di dalam kehidupan berjiran. Antara yang paling ditekankan ialah
ketika berbicara sesama jiran. Hal ini kerana, setiap apa yang dibicarakan oleh
seseorang, ia menggambarkan apa yang ada didalam kotak fikirannya serta
perangainya. Bagi setiap muslim, semasa bersosial perlu mengelak membicarakan
sesuatu yang tidak berfaedah.
Imam Al-Ghazali menukilkan kisah di dalam kitabnya Ihya’
‘Ulumuddin’ bahawa hak jiran bukanlah sekadar mencegah diri kita daripada
menyakiti atau perbuatan yang tidak menyenangkan hati jiran sahaja, tetapi
hendaklah bersabar menahan perasaan jika disakiti bahkan lebih daripada itu.
Hendaklah kita memberi pertolongan kepada jiran dan menunjukkan rasa kasih
sayang.
Diceritakan bahawa Ibnu Muqaffa’ pada suatu hari mendengar bahawa
jirannya akan menjual rumah yang didiaminya kerana hendak membayar hutang yang
sudah banyak ditanggungnya. Pada waktu itu, Ibnu Muqaffa’ berkata “Sekiranya dijual, tentu saya tidak
memperolehi kerhormatan bernaung di bawah rumahnya”. Tidak lama kemudian, dia
menemui jirannya itu dan memberikan wang mengikut kadar rumah itu sebagai
sedekah dan berkata, “Janganlah saudara menjual rumah saudara ini.
Imam Al-Ghazali juga telah turut menyenaraikan hak-hak seseorang muslim
terhadap jirannya untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran yang
berguna sebagai panduan bersama ketika berinteraksi dengan jiran tetangga
iaitu:
·
Hendaklah mendahulukan
ucapan salam kepadanya setiap kali bertemu
·
Jangan terlalu banyak
bertanya kepadanya tentang keadaannya sehari-hari
·
Menziarahi dirinya atau kaum
keluarganya apabila sakit ataupun ditimpa musibah
·
Tunjukkan bahawa kita turut
berdukacita dan bersimpati jika mereka ditimpa musibah dan bersegera memberikan
pertolongan jika perlu sekalipun tanpa diminta
·
Menyatakan perasaan gembira
apabila mereka memperoleh kesenangan atau kurniaan Allah SWT
·
Ampunilah segala
kesalahan-kesalahan atau keburukkannya, baik dengan apa-apa cara sekalipun
·
Jangan membuat sesuatu yang
tidak menyenangkan jiran kita umpamanya meletakkan batang kayu di dinding
rumahnya
·
Jangan menyempitkan jalan
menuju ke rumahnya
·
Jangan mengintai-ngintai apa
yang dibawa olehnya ke dalam rumahnya
·
Tutuplah kecacatan atau kekurangan
yang nampak di matamu dan jangan hebohkan kepada sesiapapun
·
Berikanlah dia semangat
untuk terus berusaha menghadapi kesukaran apabila kesukaran menimpanya
·
Jangan lalai menjaga rumahnya pada waktu dia tiada
atau sedang bermusafir
·
Jangan mendengar kata-kata
orang lain yang mengeji dirinya, yang berupa umpatan atau berita-berita yang
tidak menyenangkan
·
Tundukkan matamu sewaktu
melihat isteri/suaminya
·
Jangan selalu memandang
hamba/pembantu rumahnya
·
Bersikap lemah lembut
terhadap anak-anaknya baik dalam percakapan atau lain-lain
·
Tunjukkan sesuatu yang tidak
diketahui oleh saudaranya, baik yang dalam urusan keduniaan atau keakhiratan.
macam mana nak tutup lagu -_-'
ReplyDelete