Sunday, 12 August 2018


KONSEP KEJIRANAN

MAKSUD KEJIRANAN DALAM ISLAM

Berdasarkan syarak, jiran ialah orang yang berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, di depan atau belakang mahupun di tingkat atas ataupun bawah hingga 40 rumah dari setiap sudut.

Dalam perkataan Arab, jiran membawa maksud orang yang tinggal sebelah menyebelah atau tetangga. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa semangat kejiranan membawa erti satu suasana dan perhubungan yang positif dalam satu-satu kawasan kejiranan. Ini menunjukkan bahawa Islam menitik beratkan hubungan harmoni dan persaudaraan di antara satu sama lain dan agama Islam ialah sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan di antara sesama manusia.

Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Bahkan menurut Al-Alusi dalam Kitabnya Ruhul Ma’ani Fi tafsiril Qur’an Al-Azim Wa Sab’ul Masani bahawa penetapan jiran ini dan lingkunganya secara zahir kembali kepada uruf (adat setempat). Ini pendapat yang agak tepat kerana dalam kaedah syarak menyebutkan setiap yang datang dari perintah syarak ialah mutlak dan sekiranya tidak ada penerangan jelas dari kaedah melaksanakannya juga tidak dapat dijelaskan dari pemahaman zahir bahasa maka dikembalikan kepada adat kebiasaan dalam melaksanakannya.

Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak  mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat. Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa.

Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya.
Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan aspek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.
Muslim yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa menghormati dan menimbulkan perasan ihsan apabila berinterasi sesama jiran. Islam banyak menggariskan agar umatnya sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran.


DEFINASI JIRAN DALAM BAHASA/ ETOMOLOGI

Dari segi bahasa atau etimologi, jiran berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian orang yang tinggal bersebelahan atau tetangga. Etika Kejiranan Dari segi istilah jiran adalah orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan lebih besar daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara. Amat memandang berat berkaitan jiran sehingga jiran dianggap sebagai seorang yang boleh mewarisi harta.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasalah Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka bahwa sesungguhnya dia (jiran) layak untuk mewarisi (mendapatkan harta pusaka)." Dalam menghayati hak-hak jiran, jiran dibahagikan kepada tiga bahagian.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Jiran itu ada tiga macam. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran yang muslim yang berkerabat, maka baginya hak jiran, hak muslim dan hak kerabatnya. Adapun jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran muslim, di mana haknya ialah hak jiran dan sebagai orang muslim. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik atau kafir." Al-Ghazali dalam kitabnya 'Bimbingan Mukmin' telah menyenaraikan hak jiran, antaranya:


Hendaklah seseorang itu memulakan memberi salam kepada jirannya. Selain itu kita juga perlu menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian dan melawati jenazahnya. Kita sebagai seorang jiran jangan terlalu banyak bertanya tentang hal ehwalnya dan selalu memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya. Sebagai jiran yang baik juga kita hendaklah menutup keaiban dan kecelaan yang berlaku pada dirinya. Selain itu, kita perlu sentiasa bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya dengan tutur kata yang baik. Kemudian kita perlu bersiap sedia untuk  menolong jiran yang ditimpa bencana. Kemudian kita jangan sekali – kali  menyakiti hati jiran seperti membuang sampah di pinggir rumahnya dan tidak terpengaruh dengan kata-kata orang yang memburukkan jiran kita kerana Rasulullah SAW memberi amaran keras dan balasan seksa yang memedihkan jika sesuatu hubungan kejiranan bertukar menjadi hubungan yang buruk.






PEMBAHAGIAN JIRAN

 Islam membahagikan jiran kepada beberapa bahagian iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai pertalian darah, jiran beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah dan jiran bukan Islam. Dalam erti kata lain jiran jauh dan dekat. Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisaa’ ayat 36 iaitu :

       Maksud-Nya : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. 

No comments:

Post a Comment