Sunday, 12 August 2018


KEBAIKAN/HIKMAH BERBUAT BAIK DENGAN JIRAN
                           
Hari ini, jalinan ukhuwah menjadi semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim dengan memanfaatkan teknologi masa kini seperti e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman-laman sosial seperti Facebook dan lain-lain serta tidak ketinggalan melalui telefon.Namun ramai yang tidak menyedari bahawa antara rahsia yang boleh mengeratkan hubungan silaturrahim, dan kasih sayang antara sesama ahli masyarakat ialah mengucapkan salam dan bertanya khabar tentang diri masing-masing.Rasulullah SAW menunjukkan cara yang mudah dalam mewujudkan hubungan silaturrahim antara masyarakat Islam iaitu melalui mengucapkan salam ketika bertemu. Selain itu, menyahut panggilannya jika dipanggil dan mendoakan ketika bersin. Kita juga perlu menziarahi ketika sakit/kematian dan  menolong ketika kesempitan. Kita juga jangan lupa untuk memenuhi undangan apabila dijemput.

Perhubungan yang baik ini mesti dilakukan secara berterusan bertepatan dengan petunjuk Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya.
Kita boleh gunakan kesempatan hari-hari perayaan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim yang lebih erat antara ahli keluarga, sahabat dan jiran.Amalan ziarah-menziarahi mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam terutama sekali dalam menghubung dan merapatkan ikatan ukhuwah sesama Islam.Agama Islam sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturrahim dan ukhuwah.

Bagi mencapai matlamat sebenar amalan ziarah-menziarahi ini terdapat adab-adab yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap Muslim untuk meraih keredaan dan rahmat ilahi. Ikatan ukhuwah Islamiah yang erat dan kukuh di kalangan umat Islam merupakan elemen yang amat penting ke arah merealisasikan visi dan misi perpaduan ummah sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Perpaduan ummah yang jitu di semua peringkat mampu mengangkat keunggulan martabat umat Islam di persada dunia. Silaturrahim juga merupakan tunjang utama kekuatan ummah dengan syarat ia diasaskan dengan ketakwaan dan berlandaskan syariat. Ia boleh menjauhkan manusia daripada hasad dengki dan fitnah. Silaturrahim juga boleh mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT kerana dapat membentuk akhlak manusia lebih baik daripada sebelumnya. Seandainya jalinan silaturrahim diabaikan, ia bukan sahaja merenggangkan hubungan dengan Allah tetapi juga memisahkan kasih sayang antara sesama manusia. Orang yang paling berhak mendapat keakraban silaturahim daripada kita adalah orang yang hampir dengan kita. Antaranya, ibu bapa dan kaum kerabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan pertalian darah dan seterusnya orang-orang lain di luar lingkungan ini termasuklah jiran tetangga. Allah SWT memerintahkan agar manusia berbuat baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga yang dekat ataupun yang jauh. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya. Untuk menjalinkan silaturrahim sebenarnya bukanlah sukar. Apa yang penting ialah keinginan untuk bersilaturrahim dalam diri manusia, tidak sombong, mengenepikan keegoan, kebencian dan dendam dan digantikan dengan perasaan kasih sayang, bersabar terhadap perbuatan yang menyakitkan dan berbuat baik serta bergaul bersama mereka dengan akhlak yang mulia. Tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang retak bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini. Orang tengah yang boleh mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus dalam masyarakat adalah mereka yang terpuji.

Rasulullah SAW membimbing amalan baik yang wajar dilaksanakan oleh seseorang untuk mewujudkan hubungan baik antara satu sama lain. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang menghindarkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghindarkan satu daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan satu kesulitan di dunia, Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba itu sentiasa menolong saudaranya. Sesiapa yang menghindari merosakkan hak dan kehormatan saudaranya, Allah akan menghindarkan wajahnya daripada api neraka pada hari kiamat. Marilah kita sama-sama akrabkan kembali hubungan silaturahim sesama umat. Hulurkan tangan mohon kemaafan agar dapat meraih kejayaan dan kecemerlangan bersama sama ada di dunia dan akhirat. Kesimpulannya kita akan terasa indah apabila setiap saat kita boleh bertegur sapa, mengisi hari dengan senyuman dan semangat kebersamaan antara keluarga, sahabat, rakan sekerja termasuklah mereka yang berlainan agama dan etnik dengan kita.



No comments:

Post a Comment