Sunday, 12 August 2018


PENGENALAN
Semangat hidup berjiran yang kita warisi sejak turun temurun, kini jelas semakin terpinggir. Keadaan tersebut tidak wajar dibiarkan kerana hidup berjiran banyak manfaatnya. Dengan semangat kejiranan, masalah jenayah dapat dikurangkan. Kita tidak dapat menafikan bahawa kejadian pecah rumah kerap berlaku ketika penghuninya tiada di rumah. Jika semangat kejiranan dalam masyarakat kita kuat, masalah sedemikian dapat dielakkan kerana sebagai jiran yang bertanggungjawab, seseorang itu akan prihatin terhadap rumah dan harta benda jirannya ketika ketiadaan mereka. Mereka akan membantu melihat persekitaran rumah tetangga dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku sesuatu yang meragukan.
Untuk memupuk semangat kejiranan, sistem pendidikan memainkan peranan penting iaitu melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Agama, Pengetahuan Moral ataupun melalui penyerapan dalam mata pelajaran lain. Dengan cara ini, amalan hidup berjiran dapat dipupuk di kalangan kanak-kanak. Matlamat pengajaran haruslah menekankan pengamalan budaya tersebut dalam kehidupan sebenar. Bukan hanya setakat mengetahuinya di atas kertas sahaja. Memupuk budaya ini di kalangan kanak-kanak adalah lebih mudah. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Langkah meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai juga tidak kurang pentingnya. Mereka harus selalu diingatkan agar mengunjungi antara sesama jiran pada waktu perayaan agar mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Begitu juga amalan mengadakan rumah terbuka perlu digalakkan. Sikap pentingkan diri dan berprasangka buruk terhadap jiran seharusnya dihapuskan kerana sifat ini menghalang pembentukan budaya tersebut.Memandangkan amalan hidup berjiran dapat menjamin pewujudan masyarakat penyayang yang amat penting dalam negara majmuk seperti di negara kita, maka kita mestilah sama-sama mengamalkannya.

Seterusanya, pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti rukun tetangga, kenduri dan gotong-royong perlu dijalankan supaya hubungan antara rakyat berbilang kaum dapat dieratkan. Penduduk kawasan perumahan setempat harus mengambil inisiatif untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan rakyat pelbagai kaum seperti meraikan perayaan-perayaan di Malaysia bersama-sama. Aktiviti hari keluarga dan pesta budaya Malaysia juga dapat meningkatkan semangat kejiranan di antara rakyat Malaysia.
Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bersatu dalam usaha untuk memupuk semangat kejiranan di antara rakyat demi mencapai perpaduan kaum. Bak kata pepatah, ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Kita sebagai rakyat Malaysia, kita juga  haruslah menghargai keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh semua rakyat dan perlu berusaha dan menyumbangkan tenaga untuk mengukuhkan perpaduan di antara rakyat berbilang kaum negara kita. Diharapkan semua lapisan masyarakat akan memikul tanggungjawab untuk mengekalkan dan mengukuhkan lagi perpaduan di negara Malaysia.




Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasa Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya : " Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat , maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.( hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



No comments:

Post a Comment